Timbalan pendakwa raya SPRM ditahan polis kerana miliki dadah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baru melaporkan diri minggu lepas ditahan polis semalam kerana memiliki dadah.

SPRM memaklumkan TPR terbabit ditahan di kediamannya dan pemeriksaan polis telah menemukan bahan terlarang disyaki dadah di rumah berkenaan.

Suruhanjaya itu mengambil maklum berhubung tangkapan melibatkan seorang TPR yang baru melaporkan diri untuk bertugas di suruhanjaya ini minggu lepas.

SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

SPRM menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan.

Suruhanjaya itu juga komited memastikan integriti serta tatakelola organisasi sentiasa dipelihara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *