WASHINGTON: Juri di Florida mendapati Ryan Routh bersalah pada Selasa kerana cuba membunuh Donald Trump setahun lalu di sebuah padang golf.
Cubaan membunuh calon presiden Parti Republikan ketika itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya November 2024.
Insiden itu berlaku dua bulan selepas satu lagi cubaan bunuh di Pennsylvania apabila telinga Trump cedera terkena tembakan.
Routh yang berusia 59 tahun disabitkan dengan kesalahan cubaan membunuh seorang calon presiden utama.
Dia juga didapati bersalah menyerang pegawai persekutuan serta tiga kesalahan berkaitan senjata api persekutuan susulan insiden pada 15 September 2024.
Dia kini berdepan hukuman penjara seumur hidup pada prosiding hukuman yang akan datang.
Hakim Aileen Cannon dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah Selatan Florida mengendalikan perbicaraan itu.
Routh bertindak sebagai peguam bela bagi dirinya sendiri sepanjang perbicaraan berlangsung.
Peguam Negara Amerika Syarikat Pamela Bondi berkata keputusan bersalah itu menggambarkan komitmen Jabatan Kehakiman untuk menghukum mereka yang terlibat dalam keganasan politik.
Trump pula menyifatkan keputusan itu sebagai satu detik besar untuk keadilan di Amerika menerusi satu hantaran di media sosial. – Bernama, Xinhua