Presiden Lubnan gesa hentikan serangan Israel, undur tentera dari wilayah

NEW YORK: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Selasa menggesa supaya serangan Israel dihentikan serta-merta dan tentera Israel diundurkan dari wilayah negara itu.

Beliau juga menuntut pembebasan tahanan warga Lubnan dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80.

Aoun menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa supaya berdiri bersama Lubnan serta memberi sokongan agar negara itu terus berperanan sebagai model keamanan.

“Kami menuntut agar serangan Israel dihentikan, pengunduran tentera pendudukan dari semua tanah kami, pembebasan tahanan kami, dan pelaksanaan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

Tidak akan ada pembangunan tanpa keamanan, tiada keamanan tanpa keadilan, tiada keadilan tanpa hak asasi manusia, dan tiada kemakmuran dalam keadaan konflik serta peperangan,” katanya.

Beliau menyatakan rasa dukacita kerana terpaksa berbicara tentang keamanan ketika sebahagian rakyatnya dibunuh dan wilayah diduduki.

Aoun menzahirkan kebimbangan terhadap situasi buruk yang dihadapi negaranya serta masa depan yang terancam.

Beliau menekankan bahawa melindungi Lubnan adalah tanggungjawab global dan antarabangsa.

Aoun memberi amaran bahawa jika Lubnan runtuh, tiada negara lain mampu mencontohi pengalaman unik kehidupan bersama Kristian dan Islam.

Beliau menegaskan bahawa Lubnan mewakili model dengan memiliki satu-satunya presiden Arab Kristian di rantau ini.

“Pertarungan mengenai identiti Lubnan – sama ada ia akan menjadi tanah kehidupan dan kegembiraan, platform rakyat kami untuk berhubung dengan rantau serta dunia, atau sebaliknya menjadi ranjang kematian, medan pertempuran dan tapak penyebaran konflik ke negara jiran – masih berterusan dengan sengit. Kami telah membuat pilihan, dan kami akan terus menempuh jalan pertama itu.”

“Seruan saya kepada anda ialah: berdirilah bersama kami untuk keamanan dan kemanusiaan di rantau kami. Jangan tinggalkan Lubnan.” – Bernama, Anadolu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *