Porsche jenama mewah paling tinggi tertunggak cukai jalan – Loke

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan lima jenama kenderaan mewah dalam data Jabatan Pengangkutan Jaya merekodkan tunggakan cukai jalan hampir RM35.7 juta.

Beliau berkata Porsche mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 4,308 unit kenderaan dengan tunggakan berjumlah RM13.7 juta.

Empat lagi jenama membabitkan Ferrari dengan 675 unit dan tunggakan RM4.7 juta.

Bentley mencatatkan 660 unit dengan tunggakan RM7 juta diikuti Lamborghini (372 unit, RM3.7 juta) dan Rolls-Royce (345 unit, RM6.4 juta).

“Angka ini menunjukkan masih terdapat ramai pemilik kenderaan mewah yang gagal melaksanakan tanggungjawab memperbaharui Lesen Kenderaan Motor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke memohon semua pemilik kenderaan mewah termasuk orang kenamaan dan ahli perniagaan menjalankan tanggungjawab membayar cukai jalan.

Beliau berkata terdapat pemilik kenderaan mewah sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran saman RM300 lebih berbaloi.

Cukai jalan kereta mewah mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun bergantung kepada jenis dan spesifikasi kenderaan.

Loke memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lebih drastik jika trend ini berterusan.

JPJ telah melaksanakan Ops Luxury dan menyita 421 kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *