ALOR SETAR: Polis menahan lapan lelaki termasuk enam pendatang tanpa izin yang ditemui berbaring di belakang sebuah lori satu tan di tepi jalan Pekan Bedong, dekat Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata tangkapan pada pukul 4.30 petang semalam itu melibatkan warga Myanmar dan Indonesia berusia antara 20 hingga 51 tahun.
“Mereka ditemukan berbaring dengan ditutup kanvas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan menambah bahawa kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Selain itu, dua lelaki tempatan berusia 30-an turut ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Siasatan juga merangkumi Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama