IPOH: Seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana bersalah mengemukakan tuntutan palsu elaun penugasan semasa monsun timur laut dua tahun lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu selepas K. Rameswaran, 28, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.
Tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang diketahui palsu iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa monsun timur laut 2023/2024 Daerah Sungai Siput (U) dari Oktober 2023 hingga Januari 2024.
Dokumen palsu itu digunakan di Pejabat Rela negeri Perak di Ipoh.
Tuntutan elaun tersebut dibuat atas nama lima anggota RELA lain walaupun mereka tidak pernah menjalankan tugas rondaan semasa musim monsun timur laut.
Jumlah tuntutan palsu yang dikemukakan ialah RM9,408.
Rameswaran bertanggungjawab mengurus, menyokong, dan mengesahkan hal ehwal kewangan petugas bawahannya.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap satu daripada lima pertuduhan.
Tertuduh diarahkan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia G. Nanthini.
Rameswaran tidak diwakili oleh mana-mana peguam semasa prosiding mahkamah. – Bernama