Pemandu lori dan pemilik perniagaan didenda RM19,000 miliki diesel tanpa lesen

IPOH: Seorang pemandu lori dan seorang pemilik perniagaan masing-masing didenda RM19,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu diesel tanpa lesen pada tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Liew Yow Lee, 36, dan Phang Yiew Miew, 39 setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, pada 22 Februari 2024 sekitar pukul 12.29 tengah hari didapati secara bersama memiliki 3,261 liter diesel di sebuah stor penyimpanan minyak di kawasan Perindustrian International IGB di sini.

Diesel yang disimpan dalam tangki IBC dan sebuah lori itu menimbulkan syak munasabah untuk digunakan bagi tujuan perniagaan, sama ada secara runcit atau borong, tanpa lesen yang sah.

Kedua-duanya didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Peruntukan hukuman bagi kesalahan tersebut adalah denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam kedua-dua tertuduh, Mohd Khairul Fairuz Rahman, memohon hukuman denda minimum dengan alasan mereka telah berkahwin, mempunyai tanggungan anak-anak serta menjaga ibu bapa yang uzur dan berpenyakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta selaras dengan usaha kerajaan membendung ketirisan penjualan barang kawalan bersubsidi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM19,000 ke atas setiap tertuduh serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Lori yang terlibat dalam kes itu juga diarahkan dipulangkan kepada pemilik berdaftar. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *