PUTRAJAYA: Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027 yang bakal dilancarkan tahun hadapan akan menjadi strategi baharu negara dalam usaha menangani ancaman dadah yang semakin meruncing.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan komunikasi itu mampu memperluas capaian dan meningkatkan keberkesanan pencegahan melalui mesej yang lebih tepat.
Beliau menegaskan fokus utama pelan itu mengambil kira faktor umur, jenis dadah dan geografi bagi memastikan pendekatan yang digunakan benar-benar berfokus.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah Kebangsaan berkata pendekatan itu akan diterjemahkan melalui mesej berbeza mengikut keperluan generasi muda, golongan dewasa dan komuniti setempat.
“Pelan ini akan bertindak sebagai pemangkin perubahan sikap dan norma sosial melalui penglibatan pelbagai pihak,” katanya kepada Bernama pada sesi temu bual baru-baru ini.
Keberkesanan pelan itu akan dinilai menerusi beberapa indikator utama iaitu peningkatan amalan kesihatan fizikal dan mental serta tahap kesedaran masyarakat.
Indikator lain termasuk kewujudan komuniti yang sihat dan prihatin serta sentimen positif terhadap inisiatif kerajaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan di media sosial.
“Kesemua indikator ini akan diukur secara sistematik melalui soal selidik, analisis sentimen serta analitik media sosial,” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah pada Mei lepas telah meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah sebagai usaha kempen antidadah secara holistik.
Ahmad Zahid menegaskan isu dadah bukan sekadar melibatkan isu penguatkuasaan semata-mata sebaliknya turut merangkumi aspek pembangunan insan dan keselamatan komuniti.
“Usaha kerajaan pada masa ini adalah tertumpu kepada memperkukuhkan peranan institusi keluarga, pendidikan dan komuniti dalam aktiviti pencegahan,” katanya.
Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluluskan pada Oktober 2024 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik strategi.
AADK diperuntukkan RM1.3 juta setiap tahun bagi melaksanakan kajian terhadap keberkesanan dasar dan perkhidmatan berkaitan isu dadah.
Jumlah penyalah guna dan penagih dadah di Malaysia direkodkan sebanyak 145,526 orang pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 orang pada 2024.
Berdasarkan populasi penduduk sebanyak 34.06 juta orang, kadar penagih pada 2024 ialah 566 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 436 orang pada 2023.
Statistik bagi 2025 setakat Jun menunjukkan jumlah penagih menurun kepada 134,916 orang dengan kadar 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk. – Bernama