Negara Asia tegaskan sokongan kepada Palestin dalam sesi PBB

ISTANBUL: Pakistan dan China telah menegaskan semula sokongan kukuh mereka terhadap Palestin manakala Korea Selatan menekankan kepentingan penyelesaian dua negara dalam sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun (gambar) menyatakan komitmen negaranya untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin pada masa yang benar-benar kondusif bagi merealisasikan penyelesaian dua negara.

Beliau menyeru semua pihak untuk tidak melupakan matlamat bersama mewujudkan Asia Barat yang aman dan makmur untuk semua penduduk.

Pakistan melalui Menteri Luarnya Ishaq Dar menggesa tindakan segera berhubung krisis kemanusiaan di Gaza dengan menyatakan masa untuk berkata-kata telah berlalu.

Dar memuji negara-negara yang baru-baru ini mengambil keputusan mengiktiraf kenegaraan Palestin dan menyeru momentum positif ini dikekalkan.

Timbalan Wakil Tetap China ke PBB Geng Shuang menggariskan empat perkara penting untuk menyelesaikan konflik tersebut termasuk menamatkan tragedi di Gaza tanpa berlengah.

Beliau menegaskan bahawa Gaza dan Tebing Barat adalah sebahagian wilayah Palestin yang tidak boleh dipisahkan.

Geng menggesa semua pihak menentang sebarang tindakan unilateral yang menjejaskan asas penyelesaian dua negara.

Konflik yang berterusan telah memusnahkan Gaza dengan penderitaan dan kehancuran di merata tempat menurut laporannya.

Tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 65,300 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023 kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pengeboman berterusan itu telah menjadikan wilayah berkenaan tidak lagi sesuai dihuni selain menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit. – Bernama-Anadolu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *