PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan Sijil Ketua Audit Negara dan Penarafan Rasuah Perkhidmatan Awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai dua indikator baharu dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan mulai 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah proaktif itu selaras dengan dasar reformasi Kerajaan MADANI yang menekankan integriti, tatakelola baik, ketelusan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan di 156 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.
“Pengenalan dua indikator baharu ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan tadbir urus PBT lebih telus, berakauntabiliti dan bebas daripada amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan mesyuarat tahunan bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan seluruh negara yang diadakan semalam.
Nga menegaskan setiap inisiatif yang digerakkan adalah bukti komitmen kerajaan untuk memperkasa perkhidmatan awam agar lebih efisien, berintegriti dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.
Antara dasar yang dibincangkan pada MEXCOPT ialah pemberian rebat tarif elektrik lampu jalan di semua PBT Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.
KPKT turut memacu pembaharuan proses kawal selia pemajuan di peringkat PBT seiring aspirasi New Deal for Business di bawah agenda Reformasi Karenah Birokrasi.
Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan ialah lorong hijau industri atau Industrial Green Lane iaitu lorong pantas bagi pelaburan strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau serta industri bernilai tinggi.
Mekanisme prasyarat turut diperkenalkan bagi membolehkan semakan dan ulasan awal secara dalam talian oleh agensi teknikal sebelum permohonan rasmi dikemukakan melalui Sistem OSC 3.0 Plus Online.
KPKT juga melaksanakan pendekatan pematuhan kendiri yang menggalakkan profesional berdaftar melaksanakan garis panduan jelas dengan penguatkuasaan berasaskan akauntabiliti profesional.
“Sehingga kini, daripada 99 permohonan yang diterima, sebanyak 62 mematuhi piagam dengan pencapaian keseluruhan 63 peratus,” katanya.
KPKT sedang memuktamadkan penambahbaikan Garis Panduan Pemasangan Perangkap Minyak 2018 yang akan dijenamakan semula sebagai Garis Panduan Pengurusan Perangkap Minyak di Premis Makanan.
Bagi mengukuhkan infrastruktur bandar, kementerian turut mengagihkan peruntukan 200 juta ringgit pada tahun 2025 bagi membantu PBT menaik taraf sistem perparitan bandar.
Nga berkata kerajaan negeri dan PBT disaran memberi penekanan kepada penyelenggaraan berterusan agar sistem perparitan berfungsi baik serta mampu menampung keperluan semasa.
“Segala langkah ini membuktikan bahawa KPKT komited melaksanakan reformasi pentadbiran secara menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek integriti dan tatakelola, tetapi juga dalam memperkukuhkan prasarana serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – Bernama