Kempen Internet Selamat perlu perkasa modul literasi AI di sekolah

JOHOR BAHRU: Kempen Internet Selamat di sekolah wajar diperkasa dengan modul literasi kecerdasan buatan bagi melahirkan generasi muda yang celik digital, beretika dan mampu menghadapi cabaran dunia maya.

Pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Dr Noor Zuraidin Mohd Safar berkata kempen sedia ada lebih menekankan penggunaan Internet secara beretika dan selamat.

Beliau menegaskan perkembangan teknologi menuntut pelajar turut memahami bagaimana AI membentuk maklumat, media sosial dan aplikasi harian.

Modul literasi AI boleh merangkumi topik seperti cara algoritma berfungsi, risiko bias dalam data, etika penggunaan AI serta ancaman seperti deepfake.

“Dengan pengetahuan ini, murid bukan sahaja celik Internet tetapi juga mampu menganalisis maklumat dengan kritis,” katanya.

Noor Zuraidin berkata pendidikan literasi AI di sekolah akan menyediakan asas kukuh untuk pelajar menghadapi cabaran pembelajaran digital dan pasaran kerja.

Beliau menekankan cabaran utama AI ialah penyalahgunaan teknologi yang boleh menjejaskan keselamatan, privasi dan etika.

“Pendidikan literasi AI amat penting bagi menanam kesedaran, tanggungjawab dan etika penggunaan teknologi sejak awal,” katanya.

Felo penyelidik Universiti Malaysia Kelantan Dr Nooraziah Ahmad menyifatkan AI kini berada pada tahap sama seperti kemunculan telefon pintar.

Beliau berkata AI memberi banyak manfaat terutama dalam produktiviti seperti menyiapkan karangan dalam masa beberapa saat.

“Jika tidak mengikut perubahan teknologi, mereka akan ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata pendedahan awal AI selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan dan Kerangka Literasi Digital Kebangsaan.

Pekerja swasta Azlianti Mahmood berharap silibus berteraskan keselamatan siber dan AI dapat dijadikan antara subjek utama di sekolah menengah.

“Subjek komputer sudah lama diperkenalkan, namun penekanan mengenai AI perlu diperkasa,” katanya.

Beliau berkata Kempen Internet Selamat di sekolah sememangnya memberi manfaat kepada pelajar dari segi kemahiran digital.

Kempen Internet Selamat merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *