KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan perobohan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Sungai Golok sebagai langkah tepat untuk membanteras penyeludupan tetapi perlu dilakukan dengan teliti.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan bahawa tidak semua pangkalan haram di sepanjang sungai itu dibina untuk tujuan penyeludupan.
Beliau menegaskan sebahagian pangkalan tersebut sebenarnya digunakan untuk aktiviti harian penduduk sejak puluhan tahun.
“Ini bukan bermaksud kita membela aktiviti yang melanggar undang-undang, tetapi kita cukup faham dengan rakyat dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim.
Mohamed Fadzli menambah bahawa sesetengah pangkalan menjadi kemudahan rakyat termasuk urusan kekeluargaan antara penduduk Kelantan dan Pekan Golok.
Beliau meminta semua pihak bertanggungjawab termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan membantu penduduk yang terjejas kerana perobohan pangkalan haram menjejaskan pendapatan harian mereka.
Menurut Mohamed Fadzli, kerajaan negeri mempunyai beberapa bentuk bantuan khusus seperti bantuan keusahawanan, ibu tunggal dan perniagaan untuk penduduk terlibat.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan menerusi jabatan berkaitan juga boleh tampil membantu mangsa perobohan.
Kerajaan negeri akan meneliti setiap kes secara individu bagi menentukan bentuk bantuan bersesuaian selain mendapatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Apa yang penting, langkah yang dibuat polis ini bertujuan mencegah penyeludupan haram khususnya membabitkan dadah, bukannya untuk menekan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata sebanyak 153 daripada 212 jeti pangkalan haram yang dibina di atas tanah kerajaan akan dirobohkan mulai bulan depan.
Sementara itu, Mohamed Fadzli memaklumkan tiada cuti umum diperuntukkan Ahad ini sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 29 dan 30 Sept. – Bernama