PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan individu bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual sama ada atas kerelaan atau suka sama suka tidak seharusnya dikenakan hukuman.
Beliau berkata mereka sebaliknya wajar diberikan perlindungan, bimbingan dan pemulihan sesuai dengan tahap perkembangan mereka.
Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan kanak-kanak berhak mendapat peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan serta memulihkan diri tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
Beliau menekankan hal itu perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif dan sosial.
“Justeru, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka,“ katanya dalam kenyataan.
Menurut Nancy, pendekatan perundangan dan program sedia ada turut menekankan intervensi, perlindungan serta proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang.
Beliau menjelaskan sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza melibatkan pemulihan dalam komuniti atau institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak.
“Sistem ini memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap,“ katanya.
Nancy menegaskan individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing serta melindungi kanak-kanak.
Beliau menambah sebarang bentuk eksploitasi atau penderaan terhadap kanak-kanak akan dikenakan tindakan undang-undang.
Nancy berkata kenyataan dan pandangan dikeluarkan pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Beliau menekankan sifat semula jadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi tidak boleh dipandang ringan.
“Isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata,“ katanya.
Nancy menyatakan pendekatan holistik memerlukan kesedaran, kekuatan institusi keluarga serta pembabitan komuniti untuk membina sahsiah.
Beliau berkata KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan persekitaran selamat untuk kanak-kanak.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua,“ katanya.
Nancy menegaskan jalan ke hadapan bukan melalui hukuman tetapi melalui penjagaan, bimbingan dan perlindungan. – Bernama