BUDI95 dilaksanakan berperingkat untuk elak ketirisan subsidi

IPOH: Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) secara berperingkat bertujuan memastikan penyaluran subsidi lebih tersusun serta mengelakkan ketirisan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata dalam fasa pertama, semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan dan lesen memandu sah serta masih aktif layak menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

“Selepas fasa pertama ini, kita akan lihat dahulu bagaimana pelaksanaannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) di Dewan NCMS-CARITAS.

Muhammad Kamil menegaskan penambahbaikan akan dibuat berdasarkan hasil pelaksanaan fasa pertama, termasuk kemungkinan mengecualikan golongan T15 daripada senarai penerima subsidi RON95 pada peringkat seterusnya.

Beliau menekankan kerajaan mahu memastikan proses transisi berlaku dengan seminimum mungkin kesulitan dan mengurangkan masalah teknikal dari segi pelaksanaan serta mekanisme.

Mengenai had 300 liter bagi subsidi petrol RON95, Muhammad Kamil berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira penggunaan purata rakyat berdasarkan sesi libat urus yang diadakan.

“Purata penggunaan rakyat di negara ini ialah sekitar 200 hingga 220 liter sebulan, jadi jumlah itu dibulatkan kepada 300 liter bagi mengelakkan isu berbangkit,” jelasnya.

Beliau menambah kerajaan akan menilai semula sama ada jumlah 300 liter sebulan itu mencukupi bagi menampung keperluan rakyat selepas melihat pelaksanaan program.

Muhammad Kamil mempertahankan penetapan had dengan menyatakan tanpa mekanisme kawalan, ia boleh membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan seperti berniaga minyak.

“Kalau tiada had, apa mekanisme kawalan yang kita ada untuk RON95? Jadi isu ketirisan subsidi tidak akan selesai,” tegasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan melalui BUDI95, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 Sept tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *