KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada rakyat Malaysia yang layak akan memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM200 sebulan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Perdana Menteri memang beri fokus kos sara hidup rakyat melalui BUDI95 ini,” katanya pada taklimat media mengenai BUDI95 hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh sebulan dua ini harga semasa RON95 adalah antara RM2.60 ke RM2.75.
“Jadi bila kita membeli di stesen minyak sebenarnya kerajaan dah beri subsidi agak besar.”
Amir Hamzah menyatakan bahawa pada harga RM2.60, penjimatan kepada rakyat adalah hampir RM183.00 sebulan.
“Kalau harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan.”
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini untuk rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan.
Menerusi BUDI95 juga, Amir Hamzah berkata ia memberikan penjimatan kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion bergantung kepada turun naik harga minyak dunia.
“Kami tidak dapat menjangkakan secara tepat jumlah penjimatan kerajaan kerana ia bergantung sama ada harga minyak kekal atau naik.”
Semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95 melibatkan lebih 16 juta orang.
Kelayakan boleh disemak mulai Khamis ini secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95.
Pengesahan juga boleh dibuat melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai. – Bernama