DILI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasmi beliau.
Anwar disambut oleh Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste Maria Fernanda Lay pada pukul 8.55 pagi untuk pertemuan ringkas di Pejabat Presiden sebelum menyampaikan ucapannya tepat pada pukul 9 pagi.
Ucapan tersebut dianggap sebagai satu penghormatan istimewa yang mencerminkan kehangatan serta keyakinan yang semakin meningkat dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri kemudiannya meneruskan jadual di Istana Kerajaan bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão pada pukul 10 pagi.
Sesi berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman diikuti dengan sidang media bersama pada pukul 11 pagi.
Acara ekonomi penting berlangsung pada pukul 11.30 pagi dengan pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa di Pelabuhan Dili.
Projek itu dijangka dapat meningkatkan keupayaan Timor-Leste untuk menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.
Anwar kemudiannya mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berangkat ke Istana Presiden.
Beliau menyampaikan Syarahan Presiden dan menghadiri Majlis Penganugerahan pada pukul 2 petang di China Hall.
Dalam majlis tersebut Anwar dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste iaitu anugerah sivil tertinggi negara berkenaan.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang waktu tempatan.
Lawatan rasmi dua hari itu menandakan lawatan pertama oleh seorang pemimpin Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun. – Bernama