PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) mencatatkan pencapaian signifikan dengan memulihkan 1,260 projek perumahan swasta melibatkan 150,968 unit rumah bernilai RM121.44 bilion sejak penubuhannya pada 2023.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu menyatakan sebanyak 325 projek perumahan sakit dan lewat melibatkan 36,922 unit rumah bernilai RM28.85 bilion telah berjaya dipulihkan bagi tahun ini sahaja.
“Lapan projek perumahan terbengkalai melibatkan 1,299 unit rumah bernilai RM109.05 juta juga berjaya diselesaikan sepenuhnya sama ada melalui penyiapan projek sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau kaedah penyelesaian lain yang dipersetujui,” katanya.
Sehingga 31 Ogos lepas, TFST merekodkan 144 projek perumahan swasta berstatus lewat, 345 projek sakit dan 108 projek terbengkalai di seluruh negara.
Angka tersebut menunjukkan perkembangan positif dengan projek sakit menurun daripada 360 projek pada 30 Jun kepada 345 projek.
Projek lewat turut berkurangan kepada 144 projek berbanding 233 projek sebelum ini manakala projek terbengkalai menurun sedikit daripada 109 projek kepada 108 projek.
Perkembangan positif itu membuktikan keberkesanan pendekatan TFST yang menumpukan kepada penilaian status semasa serta langkah intervensi berkesan.
Bagi memastikan pemantauan rapi, TFST melaksanakan lawatan tapak secara berkala dengan 34 projek telah dilawati sepanjang tahun lepas.
Untuk tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2025 pula, 26 projek telah dilawati oleh pasukan petugas tersebut.
“Secara keseluruhannya, saya sendiri telah turun padang melawat 60 projek, di mana 36 projek telah berjaya memperoleh CCC manakala baki 24 projek menunjukkan perkembangan kerja positif,” kata Aiman Athirah.
Beliau menegaskan pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat pasukan TFST bersama pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal dan penyedia utiliti.
TFST akan terus berfungsi sebagai platform utama dalam menangani isu projek perumahan bermasalah dengan mengemukakan cadangan penyelesaian praktikal.
“Usaha ini adalah selaras dengan matlamat KPKT untuk mencapai sifar projek terbengkalai menjelang 2030.”
Komitmen kementerian adalah jelas iaitu melaksanakan pemantauan lebih rapi dan memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan.
Langkah bersepadu itu akan memastikan hak dan kepentingan pembeli rumah sentiasa dipelihara.
Inisiatif TFST juga dijangka meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menangani isu perumahan swasta terbengkalai. – Bernama