SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah rantaian antarabangsa selepas merampas lebih 1,000 kilogram dadah jenis fentanyl dan pelbagai dadah lain bernilai RM32.14 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata rampasan melalui Op Black Ash dan Op Black Wood turut menyaksikan lapan individu ditahan.
Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas dibawa masuk melalui sebuah pelabuhan di Selangor melibatkan sindiket sama dari luar negara.
“Dalam Op Black Ash pada 19 Ogos di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka, polis merampas satu cecair dadah baharu jenis fentanyl seberat 961.8 kilogram bernilai RM30.7 juta.
“Ini adalah cubaan pertama yang berjaya dipatahkan di Malaysia dan dadah fentanyl ini sangat berbahaya, lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin dan heroin,” katanya.
Hussein berkata fentanyl adalah jenis dadah yang menjadi punca utama kematian akibat pengambilan dadah berlebihan di Amerika Syarikat dan Kanada.
Beliau berkata sindiket berkenaan menggunakan modus operandi penghantaran kargo melalui Pelabuhan Klang dengan membuat deklarasi palsu.
Menurut Hussein, siasatan mendapati fentanyl itu diproses dalam bentuk cecair dan serbuk sebelum dijual dalam pasaran.
“Kami percaya serbuk daripada dadah ini dijadikan pil manakala cecair pula digunakan sebagai campuran untuk rokok elektronik,” katanya.
Berhubung Op Black Wood, Hussein berkata menerusi operasi pada 23 Ogos di sekitar Selangor, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan 75.09 kilogram bernilai RM2.7 juta.
Beliau berkata selain dua operasi itu, pihaknya turut menjalankan lima operasi khas lain iaitu Op Ceylon, Op Blackbutt, Op Black Birch dan Op Cengal.
Hussein berkata menerusi Op Ceylon pada 7 September di Lembah Klang dan Muar, Johor, polis menahan tujuh individu serta merampas 132.862 kilogram dadah bernilai RM3.3 juta.
Dalam Op Blackbutt pada 9 September di Selangor, polis berjaya merampas 202.59 kilogram methamphetamine bernilai RM6.76 juta serta menahan tiga lelaki tempatan.
Beliau berkata sehari kemudian, polis melaksanakan Op Black Birch di Sungai Besi, Kuala Lumpur serta berjaya menahan dua lelaki tempatan.
“Dalam Op Cengal pada 12 September di Lembah Klang, polis menahan empat individu dengan rampasan 230.67 kilogram methamphetamine bernilai RM7.4 juta,” katanya.
Hussein berkata secara keseluruhan, enam operasi khas itu menyaksikan penahanan 24 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun.
“Jumlah rampasan keseluruhan adalah 1,706.35 kilogram melibatkan pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran dianggarkan RM54.18 juta,” katanya. – Bernama