Saksi kanak-kanak kedua beri keterangan dalam inkues Zara Qairina

KOTA KINABALU: Seorang pelajar yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir telah selesai memberi keterangan hari ini dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner.

Pelajar itu, yang merupakan saksi kanak-kanak pertama dipanggil pada prosiding inkues itu, mula memberi keterangan semalam dan selesai pada pukul 3.30 petang.

Mahkamah kemudian mendengar keterangan saksi kanak-kanak kedua pada prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu yang kini memasuki hari ke-12.

Saksi berkenaan memberi keterangan secara tertutup di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan didampingi ibunya pada pukul 4 petang tadi dan akan menyambung keterangan esok.

Seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Setakat ini, lapan saksi dewasa telah memberi keterangan dalam prosiding itu yang bermula pada 3 September lepas manakala 25 lagi dijadual dipanggil pada sesi akan datang.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *