SHAH ALAM: Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran defisit belanjawan tahun ini sebanyak 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berikutan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan menjangka penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion melalui subsidi bersasar RON95.
Beliau menyasarkan kejayaan yang sama seperti sistem subsidi diesel bersasar yang telah melebihi jangkaan dengan anggaran penjimatan antara RM6 bilion hingga RM7 bilion.
“Bagi RON95, subsidi akan ditarik balik untuk golongan tidak layak, memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya semasa taklimat media mengenai BUDI95.
Amir Hamzah menambah jumlah penjimatan sebenar bergantung kepada harga minyak global dengan subsidi untuk rakyat Malaysia akan meningkat sekiranya harga minyak dunia naik.
Kerajaan akan mengenakan kos bahan api sepenuhnya kepada mereka yang tidak layak sekali gus membolehkan penjimatan disalurkan semula kepada kewangan negara.
Anggaran penjimatan ini dilaporkan semalam berdasarkan harga minyak mentah kira-kira US$75 setong.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Pendaftaran Negara, dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu. – Bernama