KUALA LUMPUR: Lebih 254,000 golongan dewasa Malaysia dikenal pasti mengalami obesiti menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada 1.2 juta dewasa yang disaring setakat September, 30.9% obes dan 30.8% lagi berlebihan berat badan.
Beliau menegaskan obesiti merupakan cabaran kesihatan awam yang mendesak memerlukan pengesanan awal dan perubahan persepsi masyarakat.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 mendapati 54.4% dewasa di Malaysia mengalami berlebihan berat badan atau obes, menunjukkan peningkatan 22% sejak 2011.
Individu dengan obesiti berdepan risiko lebih tinggi menghidap diabetes, penyakit kardiovaskular, strok dan kanser yang menyumbang lebih 70% kematian di Malaysia.
Obesiti turut membawa impak besar terhadap ekonomi dengan negara menanggung kerugian lebih RM64 bilion setahun melalui perbelanjaan kesihatan dan kehilangan produktiviti.
Dzulkefly menekankan kepentingan menghentikan stigma terhadap obesiti yang sering dianggap sebagai kurang disiplin.
“Naratif mengenai obesiti perlu berubah daripada menyalahkan kepada memahami, dan daripada menghukum kepada menyokong,” katanya.
Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan pengurusan klinikal obesiti secara bersepadu di peringkat penjagaan kesihatan primer.
Inisiatif itu bermula dengan 10 klinik kesihatan dan akan diperluas secara berfasa dengan sokongan laluan rujukan berstruktur.
Pendekatan baharu akan beralih kepada kaedah bersepadu merangkumi rawatan farmakologi dan pembedahan untuk mengurus obesiti sebagai penyakit kronik.
Usaha menangani obesiti memerlukan pendekatan menyeluruh dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan, industri serta komuniti. – Bernama