GEORGE TOWN: Kerajaan menegaskan larangan bagi kenderaan nombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON95 masih kekal walaupun bahan api itu diapungkan untuk golongan bukan layak.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penjualan petrol RON97 akan diteruskan seperti biasa dan kekal sebagai bahan api utama untuk kenderaan berdaftar asing.
Beliau menjelaskan warga asing bermastautin di Malaysia dengan nombor pendaftaran Malaysia boleh membeli RON95 pada harga pasaran yang akan ditetapkan pada hujung bulan.
Hanya warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah layak membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter di bawah BUDI MADANI RON95.
“Kenderaan berdaftar asing tidak dibenarkan membeli RON95 dan hanya boleh beli RON97 sepertimana ketetapan peraturan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara.
Amir Hamzah memberi jaminan isu kekurangan bekalan RON95 untuk rakyat tempatan tidak akan timbul berikutan pembelian tanpa subsidi bagi warga asing.
“Tiada masalah kekurangan logistik atau bekalan kerana mereka hanya boleh membeli RON97,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Berdasarkan data JPJ dan JPN, dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi RON95. – Bernama