KTM Komuter alami kelewatan hingga 69 minit akibat pokok tumbang

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan hari ini berikutan insiden pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu kota petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kerja-kerja pembersihan pokok dan baik pulih alat talian di laluan Salak Selatan – Pelabuhan Klang (antara stesen Mid Valley dan Abdullah Hukum) dan Simpang Batu (antara Sentul dan Segambut) berjaya disiapkan pada 8 malam tadi.

Kelewatan masih berlaku disebabkan kesan rantaian insiden tersebut walaupun kerja-kerja pemulihan telah selesai.

Insiden pokok tumbang telah menyebabkan bekalan kuasa 25kV terbingkas pada 4.24 petang semalam sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan terlibat.

Tindakan pantas pasukan teknikal KTMB yang mengambil masa kurang 50 minit bagi setiap laluan membolehkan tren KTM Komuter dan ETS beroperasi semula seperti biasa.

Masih terdapat sedikit reaksi kelewatan akibat kesan rantaian insiden tersebut walaupun perkhidmatan telah dipulihkan.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter, kelewatan berlaku antara 32 hingga 69 minit di stesen Subang Jaya, Sungai Buloh, Kepong, Putra, Seri Setia, Pantai Dalam, Kajang, Bank Negara, Seputeh dan Salak Selatan.

Bagi perkhidmatan ETS, KTMB memaklumkan operasi kembali pulih dengan kelewatan terkawal.

KTMB amat kesal atas segala kesulitan dialami penumpang berikutan insiden yang berlaku di luar jangka ini.

Pihak KTMB sentiasa komited memastikan keselamatan, keselesaan serta kesinambungan perkhidmatan kepada semua pengguna.

Penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *