Kestabilan politik dan pengurusan kewangan kunci pertumbuhan Malaysia

DILI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah telah membolehkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata keamanan serta kestabilan adalah asas utama kepada reformasi dalam bidang pendidikan, institusi dan tenaga selain pemacu pendigitalan dan kecerdasan buatan semasa berucap pada Majlis Temu Mesra MADANI bersama diaspora Malaysia, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sini.

Anwar yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste menjelaskan bahawa kestabilan politik membolehkan Malaysia melaksanakan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan.

“Kita faham bahawa reformasi perlu dilakukan dengan bijaksana, bukan secara keras atau tergesa-gesa,” katanya.

Beliau menambah bahawa kepimpinan berwibawa serta kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing dan mengukuhkan pelaburan domestik.

Anwar menekankan bahawa tadbir urus yang baik adalah teras kepada kemajuan Malaysia sambil memberi peringatan tegas mengenai bahaya gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran.

Beliau memaklumkan bahawa harga petrol telah berjaya diturunkan kepada RM1.99 seliter iaitu antara yang terendah di dunia hasil daripada proses perolehan yang ketat dan penjimatan dalam projek tebatan banjir.

Perdana Menteri turut menggesa rakyat Malaysia agar bangkit mengatasi politik perkauman atau wilayah dengan memberi amaran bahawa retorik bersifat perpecahan mampu meruntuhkan negara.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia ke arah pendigitalan, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan.

Anwar merakamkan penghargaan kepada Petronas atas penglibatannya di Timor-Leste sebagai manifestasi kerjasama serantau.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *