GRS janji lantik timbalan ketua menteri dari komuniti Cina jika menang PRN

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merancang melantik seorang Timbalan Ketua Menteri daripada kaum Cina bagi mewakili komuniti tersebut sekiranya kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu bagi menghargai sumbangan besar masyarakat Cina dalam kemajuan dan pembangunan negeri.

“Sekiranya kerajaan ini sekali lagi diberi mandat dan ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tanpa sumbangan komuniti Cina, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang merangkumi pelbagai bidang dan sektor.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian selepas menghadiri Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh dan sekolah Cina swasta serta badan-badan keagamaan bukan Islam di Dewan Hakka.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji turut mendedahkan bahawa bagi memperkukuhkan pentadbiran negeri, beliau telah melantik beberapa penasihat pakar dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan yang hampir kesemuanya dari keturunan Cina.

Antara mereka termasuk Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, yang mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC).

“Majlis ini akan menilai undang-undang lama yang sudah ketinggalan zaman, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan, adil dan mesra rakyat, serta memastikan pentadbiran kita selari dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa ini adalah cara untuk memperbaiki tadbir urus negeri dan memastikan Sabah terus progresif serta dihormati. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *