Dua rakan didakwa edar syabu lebih 100kg di Mahkamah Majistret

KUALA LUMPUR: Dua rakan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 100 kilogram dadah jenis syabu.

Fathi Fikri A’shaari dan Ahmad Syakir Khalid, masing-masing berusia 36 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua peniaga itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 103,326 gram di sebuah rumah di Jalan Tasik Damai, Taman Tasik Impian, Sungai Besi.

Peristiwa itu berlaku pada pukul 11.50 pagi, 10 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan maksimum 15 sebatan.

Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham.

Fathi Fikri diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Ahmad Syakir diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *