Cheah Liek Hou tidak kesal bersuara isu ganjaran Sukan Paralimpik Paris 2024

PUTRAJAYA: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou menegaskan beliau tidak menyesal bersuara mengenai isu ganjaran yang dijanjikan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Pemenang dua kali pingat emas perseorangan lelaki SU5 itu berkata tindakannya dibuat bagi melindungi hak semua atlet para, termasuk rakan sepasukan dan atlet muda yang bakal mewakili negara.

Beliau menyatakan jika dia tidak bersuara, perkara yang sama mungkin akan berulang kepada atlet para lain pada masa hadapan.

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk mewakili mereka dan mencari penyelesaian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Cheah berharap isu itu tidak berulang dan mencadangkan semua pihak menggunakan ‘template’ penajaan oleh inisiatif Road To Gold (RTG) bagi memastikan ganjaran penaja didokumenkan secara rasmi.

Terdahulu, Liek Hou yang berusia 38 tahun bersama jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin masing-masing menerima ganjaran tambahan RM35,000 daripada syarikat rangkaian kedai runcit 99 Speed Mart Sdn Bhd susulan kejayaan meraih emas di Paris 2024.

Atlet olahraga Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli pula menerima RM15,000 setiap seorang selepas menyumbang pingat perak.

Eddy Bernard memperoleh RM7,000 hasil kejayaan membawa pulang gangsa, menjadikan keseluruhan sumbangan syarikat itu sebanyak RM107,000.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang media sama menjelaskan sumbangan berkenaan tidak termasuk dalam senarai tiga syarikat diumumkan MPM sebelum ini.

Syarikat-syarikat tersebut dilaporkan mahu memberi ganjaran RM60,000 kepada pemenang emas Paralimpik 2024.

Menurut Liek Hou, ganjaran tambahan diterimanya hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM60,000 seperti dijanjikan MPM.

Beliau sebelum ini telah menerima RM25,000 daripada badan induk sukan para itu.

Sebelum ini, Liek Hou mendakwa MPM gagal menunaikan insentif RM60,000 yang dijanjikan selepas kejayaannya di Paris.

Beliau telah meluahkan kekecewaan itu menerusi media sosial sebelum isu tersebut diselesaikan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *