7,000 notis advokasi dikeluarkan dalam Ops PUU Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengeluarkan 7,000 notis advokasi dalam Operasi Patuh Undang-Undang (Ops PUU) pada Ahad dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad menyatakan notis tertinggi dikeluarkan kepada pemandu kereta iaitu sebanyak 3,235 notis.

Beliau berkata 2,590 notis advokasi pula dikeluarkan kepada penunggang motosikal manakala pejalan kaki menerima 780 notis.

Pemandu van menerima 190 notis diikuti pemandu lori dengan 162 notis dan pemandu teksi dengan 43 notis.

Menghalang lalu lintas kekal menjadi kesalahan tertinggi dilakukan oleh pengguna jalan raya di ibu kota dengan 2,879 notis advokasi dikeluarkan.

Kesalahan tidak patuh isyarat lalu lintas mencatatkan 1,692 notis diikuti kesalahan tidak mengikut lintasan pejalan kaki sebanyak 780 notis.

Kesalahan lain melibatkan papan nombor pendaftaran kenderaan kotor atau tidak mengikut spesifikasi sebanyak 687 notis.

Tidak memakai topi keledar merekodkan 336 notis manakala berhenti di petak kuning mencatat 202 notis.

Kesalahan berhenti lebih garisan putih merekodkan 181 notis diikuti ubah suai motosikal dengan 162 notis dan tidak memakai tali pinggang keledar dengan 81 notis.

Mohamed Usuf berkata bagi tempoh 6 Sept hingga semalam, JSPT Kuala Lumpur telah mengeluarkan 49,289 notis advokasi kepada pengguna jalan raya.

Ops PUU yang dilancarkan pada 6 Sept lepas memberi tumpuan kepada pendekatan advokasi terhadap kesalahan kecil berkaitan peraturan jalan raya.

Tindakan saman serta-merta akan dikuatkuasakan mulai 1 Okt ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *