59 pasukan sertai kejohanan tarian naga singa peringkat kebangsaan

ALOR GAJAH: Sebanyak 59 pasukan daripada 12 sekolah menengah dan rendah dari seluruh negara menyertai Kejohanan Tarian Naga dan Singa Antara Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan KPM-PTNSM Himalaya Sports 2025.

Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan jumlah penyertaan yang meningkat berbanding tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu meningkat berbanding 52 pasukan daripada 10 sekolah pada kejohanan kali pertama tahun lepas.

Beliau menyatakan kejohanan ini dianjurkan dalam usaha memupuk semangat berpasukan, perpaduan, kebersamaan dan kerjasama ahli pasukan.

Kejohanan anjuran Persekutuan Tarian Singa dan Naga Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu juga mendapat perhatian dan penyertaan daripada pelbagai kaum.

“Tahun lepas, 540 murid dan pelajar menyertai kejohanan ini tetapi jumlahnya meningkat kepada 662 orang dengan pertambahan dua negeri iaitu Terengganu serta Sabah pada tahun ini.

“Hari ini, kita dapat lihat tarian ini bukan sahaja disertai anak-anak kaum Cina sebaliknya turut melibatkan mereka berketurunan Siam, Orang Asli, Melayu dan India,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan kejohanan.

Wong berkata kejohanan itu menjadi platform melahirkan bakat baharu dalam kalangan generasi muda yang berpotensi menjadi wakil negara dalam pelbagai kejohanan tarian naga dan singa peringkat dunia.

Selain itu, beliau berkata pelajar terlibat diberi markah dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang dilihat dapat mendorong lebih ramai menyertainya pada masa depan.

Terdahulu, Wong menyampaikan hadiah bagi kategori Sekolah Rendah bawah 12 Tahun Singa Rutin Seragam Wajib kepada tempat pertama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 3, Kluang, Johor.

Tempat kedua serta ketiga dimenangi oleh pasukan dari Kelantan iaitu Kelab Tarian Singa SJKC Yok Eng dan Tarian Singa SJKC Chung Hwa, Kota Bharu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *