LONDON: Portugal secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin menurut laporan media tempatan yang dipetik Agensi Anadolu.
Menteri Luar Portugal Paulo Rangel membuat pengumuman rasmi tersebut di Perwakilan Tetap Portugal ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Rangel turut menggesa pembebasan semua tawanan serta penghentian semua permusuhan dan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Beliau menjelaskan bahawa pengisytiharan pengiktirafan ini merupakan hasil langsung daripada keputusan Majlis Menteri-Menteri pada 18 September.
Keputusan itu dibuat selepas proses rundingan yang mendapat persetujuan presiden republik dan majoriti parti politik di Parlimen Portugal.
Presiden Portugal Marcelo Rebelo de Sousa telah menyatakan sokongan penuh beliau terhadap keputusan kerajaan untuk mengiktiraf Palestin.
Langkah Portugal ini dibuat beberapa jam selepas United Kingdom, Kanada dan Australia turut mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin.
Pengiktirafan tersebut berlaku menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan diadakan tidak lama lagi.
Sebelum ini, Perancis, Luxembourg dan Malta juga telah mengumumkan rancangan sama untuk mengiktiraf Palestin di Perhimpunan Agung PBB minggu depan. – Bernama-Anadolu