Polis kesan lelaki disyaki pukul mangsa dengan kayu di lebuh raya ELITE

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes pukul menggunakan kayu di kawasan susur keluar Dengkil arah utara Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Dengkil dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata semakan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa warga tempatan yang membunyikan hon kepada suspek kerana keluar dari susur secara melulu.

“Apabila sampai di kawasan berhampiran R&R tersebut dan dalam keadaan lebuh raya yang sesak, mangsa telah memberhentikan lori dipandunya dan turun dari kenderaan berjumpa dengan suspek,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata suspek kemudiannya bertindak mengambil sebatang kayu dari dalam keretanya dan memukul lengan mangsa sebanyak satu kali.

“Mangsa terus menghampiri suspek yang mengundur ke belakang sebelum kembali ke lorinya untuk mengambil telefon bimbit bertujuan mengambil gambar suspek,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mohd Akmalrizal memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Sebelum ini, tular video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki yang bersenjatakan kayu panjang kelihatan bertelagah dengan seorang lagi lelaki lain di susur kanan sebuah lebuh raya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *