IPOH: Pengecualian lantikan secara kontrak interim bagi jawatan jururawat dijangka membantu mengisi kira-kira 14,000 kekosongan jawatan di seluruh negara pada masa ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan langkah ini merupakan antara reformasi penting kementerian dalam usaha menambah petugas di fasiliti kesihatan.
“Pada masa ini hingga Ogos lepas, terdapat 83,158 perjawatan bagi jururawat dan daripada jumlah ini, sebanyak 69,158 diisi, kita mempunyai 14,000 defisit jawatan berkenaan.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Semenanjung 2025.
Langkah itu juga bertujuan merapatkan jurang nisbah jururawat kepada penduduk yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu sekurang-kurangnya enam jururawat bagi setiap 1,000 penduduk.
Statistik semasa menunjukkan nisbah 3.8 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia.
Selain lantikan tetap, pengambilan jururawat pelatih juga telah ditingkatkan daripada 1,000 orang kepada 3,000 orang setahun iaitu lonjakan 200 peratus dengan peruntukan khusus berjumlah 25 juta ringgit.
Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia diunjur melahirkan sebanyak 18,000 jururawat tambahan menjelang 2030.
Pada tahun ini sebanyak 6,316 siswazah kesihatan telah dilahirkan melalui 41 program peringkat Diploma Lanjutan atau Pos Basik dan 13 program bagi peringkat Diploma atau Sijil.
Sebanyak 586 graduan menerima skrol yang disampaikan oleh Dzulkefly pada sesi konvokesyen tersebut.
Buat julung-julung kalinya, graduan terbaik pada konvokesyen ini diraikan melalui pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah Cemerlang Akademik dan Anugerah Cemerlang Kokorikulum. – Bernama