Malaysia tolak salah tafsir sokongan Palestin, tegaskan prinsip dasar luar

KUALA LUMPUR: Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalahtafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaannya terhadap rakyat Palestin.

Kementerian Luar Negeri menegaskan Malaysia secara konsisten memperjuangkan keamanan, keadilan, serta menghormati Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Prinsip asas ini telah menjadi teras dasar luar Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.

Malaysia dengan tegas menentang penjajahan, pendudukan asing, dan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia.

Sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah sejajar dengan prinsip asas dan nilai sejagat yang diiktiraf komuniti antarabangsa.

Kementerian menegaskan Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan masyarakat antarabangsa bagi mendapatkan keamanan dan keadilan.

Negara ini komited untuk menyediakan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dan merealisasikan penubuhan Negara Palestin yang merdeka.

Penubuhan negara tersebut harus berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia turut menegaskan bahawa keadilan dan akauntabiliti sangat penting untuk menjamin keamanan berkekalan.

Rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan ketara yang terus dilakukan terhadap rakyat Palestin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *