Malaysia terima 14 UAV dan 7 bot penyelamat melalui bantuan OSA Jepun

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima kelengkapan pertahanan merangkumi 14 pesawat tanpa pemandu (UAV) dan tujuh bot penyelamat menerusi inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan enam daripada 14 UAV akan diserahkan kepada Tentera Darat, enam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan dua lagi kepada Bahagian Siber dan Elektronik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata Jepun membekalkan peralatan pertahanan tidak membawa maut kepada negara rakan melalui OSA dengan Malaysia antara penerima inisiatif itu pada tahun ini.

“Hubungan rapat antara Jepun dan Malaysia tidak hanya terhad kepada bidang-bidang yang biasa malah telah menjangkau kepada bidang pertahanan,“ katanya semasa majlis penyerahan peralatan.

“Malaysia dan Jepun berkongsi keyakinan bahawa kestabilan di Asia Tenggara bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di rantau ini malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti global.”

Peralatan pertahanan buatan Jepun tersebut membabitkan kos sebanyak 12.63 juta ringgit dengan perjanjian penerimaan aset dimeterai pada 2023 antara kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System.

Pakej OSA turut merangkumi dua lori pembersihan jalan yang kini dalam peringkat tender dan akan melengkapkan lagi bantuan tersebut.

Duta Besar Jepun Shikata Noriyuki menyatakan Malaysia dipilih sebagai antara empat penerima awal bantuan keselamatan OSA kerana kedudukannya berhampiran Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Ketika ini komuniti antarabangsa berdepan perubahan geopolitik yang besar dan mustahak untuk kita memperkukuh keupayaan sendiri serta memupuk persekitaran antarabangsa yang aman,“ katanya.

“Kerjasama dengan Malaysia amat penting bagi Jepun dan UAV ini akan digunakan untuk pemantauan pantai termasuk di Laut China Selatan.”

Dalam perkembangan berasingan, Khaled Nordin menyambut baik pelaksanaan penyasaran subsidi BUDI MADANI RON95 kepada warga tentera bermula Sabtu ini lebih awal berbanding orang ramai.

Beliau berkata pelaksanaan lebih awal khas kepada warga tentera itu akan membolehkan kerajaan mengukur impak pelaksanaannya sebelum dimulakan untuk orang ramai pada 30 September. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *