KPDN Perak lupus barangan rampasan bernilai RM1.25 juta

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak telah melupuskan pelbagai jenis barangan rampasan bernilai RM1.25 juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDN Perak Mohamad Kamarol Mat Nor menyatakan rampasan tersebut merupakan hasil tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan pihaknya.

Barangan yang dilupuskan termasuk makanan menggunakan logo halal palsu, sabun tiruan, telefon bimbit dan aksesori tiruan.

Rampasan turut melibatkan pam minyak, hos, tangki intermediate bulk container dan kenderaan.

Kesemua barangan kes ini melibatkan rampasan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019.

Barangan yang dilupuskan merupakan antara kejayaan hasil tindakan operasi melalui Ops Tiris 3.0.

Operasi tersebut bertujuan memperkukuh usaha penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk penyelewengan subsidi.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak 2026 di Stor Ekshibit KPDN Perak di Chemor.

Sebanyak RM3.22 juta nilai rampasan pelbagai jenis barangan direkodkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Nilai denda pada tahun ini berjumlah RM434,000 manakala nilai kompaun pula sebanyak RM1.33 juta direkodkan bagi tempoh yang sama.

Pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 84,079 premis di seluruh negeri.

Sebanyak 941 kes diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk rampasan barang kawalan diesel dan gas petroleum cecair di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *