JPJ tambah waktu operasi kaunter lesen memandu seluruh negara

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli menyatakan penambahan waktu operasi kaunter berkuat kuasa pada Sabtu ini (27 September) hingga 26 Oktober di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan seluruh negara.

“JPJ bersiap siaga dan bersedia untuk menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hari Jumaat dan Sabtu di Kelantan, Terengganu, Kedah serta hari Sabtu dan Ahad di negeri lain.”

Beliau menjelaskan langkah ini memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk membaharui lesen memandu.

Aedy Fadly mendedahkan terdapat sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Seramai 15.2 juta pemegang lesen CDL merupakan pemegang lesen aktif yang masih berkuat kuasa.

“JPJ mengambil kesempatan ini ingin mengingatkan bahawa bagi pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, individu terbabit diwajibkan menduduki semula ujian KPP 02 dan KPP 03 di mana-mana Institut Memandu berdekatan.”

Bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, mereka diseru untuk segera memperbaharu lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kios tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka.

“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh.”

Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah.

Pengumuman ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Anwar mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa pada 30 September melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Kesemua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi tersebut.

Berdasarkan data daripada JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *