BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menasihatkan rakyat Malaysia di China supaya mencontohi nilai positif rakyat negara itu untuk dibawa pulang ke tanah air.
Beliau menekankan pentingnya mahasiswa Malaysia menggunakan tempoh pengajian mereka untuk meneladani semangat kerja keras dan kaedah pembelajaran rakyat China.
“China mencapai tahap kemajuan hasil dedikasi dan kerja keras berdekad-dekad,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Beijing.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyampaikan ucapan tersebut di hadapan hampir 200 warga Malaysia.
Beliau turut mengingatkan pelajar Malaysia di China supaya mempromosi budaya dan nilai-nilai murni Malaysia sambil menjadi rakyat kebanggaan negara.
Jumlah pelajar Malaysia di China kini mencecah 6,000 orang dengan 1,600 orang berada di Beijing.
Fadillah berharap jumlah pelajar yang ramai ini akan menyumbang kepada peningkatan pakar dalam pelbagai bidang di Malaysia kelak.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut membuka sesi soal jawab dan mendengar cadangan daripada tetamu yang hadir.
Beliau berkata hubungan China-Malaysia kini berada pada tahap paling kukuh dalam sejarah dengan beberapa lawatan peringkat tertinggi kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat China pada awal bulan ini manakala Presiden Xi Jinping melawat Malaysia pada April lepas.
Perdana Menteri China Li Qiang pula membuat lawatan rasmi ke Malaysia pada Mei.
Fadillah sedang dalam lawatan rasmi ke China bermula 16 September hingga 23 September atas undangan kerajaan China.
Sebelum Beijing, beliau melawat Nanning dan berucap mewakili Malaysia pada perasmian Ekspo China-ASEAN ke-22 pada 17 September.
Beliau juga melawat Chongqing pada 19 September sebelum meneruskan lawatan ke Beijing.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan dua hala pada 2024 mencecah USD 106.4 billion (RM444.15 billion). – Bernama