PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan menurut Kementerian Kewangan.
Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan yang menunjukkan lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.
Kerajaan telah mengambil langkah bagi memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95 termasuk tiada pendaftaran diperlukan untuk subsidi berkenaan.
Hanya satu langkah tambahan diperlukan iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.
Terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
Terdapat juga opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.
Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.
Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pada 28 September.
Pada 30 September sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
Rakyat tidak perlu tergesa-gesa membaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Penghargaan SARA kerana hal itu membuktikan cip MyKad berfungsi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa pada 30 September melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95. – Bernama