BUDI95 bukti komitmen kerajaan cegah ketirisan subsidi

PUTRAJAYA: Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membuktikan komitmen kerajaan dalam mencegah ketirisan berbilion ringgit subsidi setiap tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengenalan BUDI95 memastikan subsidi hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia.

Beliau menegaskan program ini menutup ruang bagi warga asing yang tidak membayar cukai untuk memanfaatkan subsidi tersebut.

“Dengan BUDI95, subsidi kerajaan kini disalurkan secara tepat dan adil khas untuk warganegara Malaysia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata program itu juga menunjukkan kerajaan sentiasa mengimbangi tanggungjawab memastikan kebajikan rakyat dengan menjaga fiskal negara.

“Ini ialah semangat Malaysia MADANI dengan memastikan tiada yang tertinggal dan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter.

Perubahan harga berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta rakyat Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *