KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti secara terperinci setiap kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kes pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai.
Jabatan ini memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Mohd Shafie semasa berucap di majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September 2025.
Kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
Jabatan itu sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah.
Sebelum ini, sebuah rakaman video satu majlis makan malam yang tular memaparkan Mohd Shafie mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi 16 Julai.
Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC telah mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama