6 Okt pengurusan kes rayuan komunikasi jelik bekas pekerja kilang

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Okt ini untuk pengurusan kes rayuan pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasan bekas pekerja kilang yang didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi menghina Raja Permaisuri Agong ketika itu pada 2023.

Kes itu pada mulanya dijadualkan untuk sebutan hari ini di hadapan panel tiga hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin, namun dikeluarkan daripada senarai kausa.

Peguam T.K Pang mewakili Sharil Mohd Sarif memberitahu media pihak pendakwaan bercadang untuk memfailkan hujah tambahan membabitkan isu perlembagaan berkaitan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini mewakili pihak pendakwaan.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Sharil, 42, pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri.

Dia didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja membuat dan memulakan hantaran komunikasi menghina menerusi akaun Twitter @SharilSarif39 antara 5.28 pagi hingga 5.30 pagi pada 12 Mac, 2023, dengan niat untuk menjengkelkan orang lain.

Sharil didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah Tinggi kemudiannya mengekalkan pembebasan itu pada 27 Jun, 2024 justeru menyebabkan pendakwaan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Sharil sebelum ini pernah disabitkan atas kesalahan serupa iaitu pada 2021, dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM20,000 serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dia juga pernah dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada 2019 dan 10 bulan pada 2020 atas kesalahan serupa di mahkamah sama – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *