Perak harap infrastruktur jalan raya diberi keutamaan dalam Belanjawan 2026

IPOH: Kerajaan Negeri Perak berharap Belanjawan 2026 akan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur jalan raya, khususnya jajaran lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjong Malim, bagi menyokong pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) di daerah itu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan berhubung keperluan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebelum ini, termasuk keperluan jajaran baharu bagi memastikan rangkaian jalan lebih lancar dan efisien.

Beliau berkata projek itu penting, kerana apabila kilang pengeluaran kereta EV di Tanjong Malim beroperasi, pengangkutan untuk tujuan eksport perlu melalui laluan strategik memandangkan Pulau Pinang terlalu jauh, manakala Pelabuhan Klang di Selangor sering berhadapan masalah kesesakan.

“Kita perlu memperkukuh jaringan jalan raya, contohnya lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjong Malim. Selain itu, terdapat juga beberapa jajaran lain yang sedang kita fikirkan dan kita berharap kementerian berkenaan dapat memberi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Anak Muda (KAMU) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata antara jajaran yang dicadangkan termasuklah sambungan antara Tanjong Malim dengan Lebuhraya WISE (West Ipoh Span Expressway) atau Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi melancarkan aliran logistik serta menyokong pembangunan ekonomi negeri.

Sementara itu berkenaan KAMU 2025 yang lebih memberi penekanan terhadap Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Saarani berkata ia kerana kerajaan negeri menyedari terdapat set minda lama yang melihat sijil TVET sebagai sijil kelas kedua.

Beliau berkata pemikiran sebegitu tidak boleh lagi diguna pakai, apabila terdapat pemegang ijazah yang sukar mencari pekerjaan akhirnya kembali menyambung pengajian di kolej komuniti untuk mengikuti TVET, sebelum menggunakan sijil itu bagi mendapatkan pekerjaan.

“Maknanya yang mana dapat 10A (Sijil Pelajaran Malaysia) dia nak jadi doktor, jurutera, sila teruskan. Sesetengah pula tidak dapat masuk universiti, ada sesetengah lagi dapat kursus yang mereka tak mahu, jadi buat apa buang masa, baik cari jalan masuk mana-mana kolej TVET yang sijil itu ada keserasian dengannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah turun padang untuk bertemu ibu bapa menerusi pertemuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi meyakinkan mereka tentang kepentingan TVET.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Saarani berkata kerajaan negeri yakin bahawa TVET menjadi kunci kepada anak muda untuk bersama bangkit dalam membangunkan negeri itu – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *