KERTIH: Lebih 20 penghuni sebuah pusat tahfiz di sini akan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan insiden kebocoran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata walaupun jarak dari pusat tahfiz ke lokasi kejadian agak jauh, iaitu dua kilometer, namun tindakan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin memandangkan risiko pencemaran udara mungkin berlaku sekiranya keadaan angin berubah.
“Kita mengambil langkah berjaga-jaga dan kita bimbang arah angin yang menghala ke pusat tahfiz boleh menyebabkan udara tercemar sekali gus memberikan kesan buruk. Jadi, kita ambil keputusan pindahkan mereka lebih awal.
“Pemindahan akan dilaksanakan hari ini juga sebelum malam bagi mengelakkan sebarang risiko. Pegawai kita sudah berurusan dengan pihak pusat tahfiz berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Gerakan Operasi di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Mohd Razi turut menasihati orang awam supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.
“Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka kerana gas yang dibawa angin boleh sampai ke kawasan pembakaran sekali gus membahayakan keadaan.
“Selain itu, hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan hutan berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razi berkata orang ramai tidak perlu panik kerana situasi berada dalam keadaan terkawal selain mereka diminta mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh–Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi semalam.
Mohd Razi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas butana dalam bentuk gas mudah terbakar.
Beliau berkata lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk – Bernama