SHAH ALAM: Visi Malaysia MADANI yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan berjaya apabila parti politik pembangkang turut mula mengubah pendekatan dengan memberi tumpuan kepada semua kaum, khususnya masyarakat India.
Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan berkata ia berikutan pendekatan MADANI inklusif tanpa mengabaikan mana-mana kaum atau golongan dipinggirkan.
Beliau menyatakan bahawa PAS yang sebelum ini tidak pernah menyebut mengenai komuniti India kini telah berubah pendekatannya dengan mula mendekati kaum India.
Ramanan menegaskan bahawa perubahan pendekatan parti pembangkang ini adalah kekuatan daripada visi MADANI yang bersifat untuk semua rakyat.
Visi MADANI merupakan visi untuk menunjukkan semua golongan kaum bersatu padu termasuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan Iban.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan parti pembangkang yang kini dilihat mesra kepada kaum India selepas Program Pembudayaan Koperasi dan Keusahawanan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam. – Bernama