KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan varian baharu COVID-19 iaitu XFG daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 tahun 2025.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad memaklumkan bahawa 8.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan pada ME35 adalah varian XFG.
Beliau berkata pengesanan genomik mendapati varian NB1.8.1 kekal dominan dengan merekodkan 39.4 peratus kes.
Varian JN.1 menyumbang 18.1 peratus manakala XEC merekodkan 13.3 peratus daripada keseluruhan kes.
Varian lain merangkumi 21 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada minggu epidemiologi tersebut.
Secara kumulatif sehingga ME35 tahun 2025, sebanyak 43,087 kes telah dilaporkan berbanding 85,297 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024.
Ini menunjukkan penurunan sebanyak 49.5 peratus dalam bilangan kes COVID-19.
Kes mingguan ME35 menunjukkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 594 kes berbanding 681 kes pada ME34.
Satu kematian baharu dilaporkan pada ME35 melibatkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.
Secara kumulatif, kematian COVID-19 sehingga kini adalah tiga kes yang dilaporkan pada ME24, ME30 dan ME35 tahun 2025.
Dzulkifly menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan asas terutamanya mencuci tangan dengan kerap.
Beliau juga menggesa orang ramai memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak.
Masyarakat disarankan mendapatkan vaksinasi sekiranya mereka berada dalam kumpulan berisiko tinggi. – Bernama