IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terjatuh di kawasan Air Terjun Buntong hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Kementerian Kesihatan pada pukul 11.26 pagi memohon bantuan membawa turun mangsa.
Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba perlu berjalan kaki kira-kira satu kilometer sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh.
Mangsa yang cedera telah menerima rawatan awal daripada petugas KKM sebelum disahkan meninggal dunia.
Shazlean berkata operasi terkawal pada pukul 2 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 2.20 petang.
Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama