KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bernilai RM41.5 juta kepada 27,674 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang memasuki Universiti Awam dan Politeknik bagi sesi Oktober ini.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikan wang berkenaan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai Rabu ini.
“Pelajar hanya perlu membawa bersama surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan juga MyKad pelajar (wakil tidak dibenarkan),“ menurut kenyataan PTPTN.
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September hingga 23 November 2025.
Menerusi WPP, setiap pelajar baharu yang layak akan menerima RM1,500 sebagai persiapan awal memasuki universiti awam dan politeknik.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar di peringkat awal pengajian.
Setakat 31 Ogos, sebanyak 990,646 pelajar telah mendapat manfaat WPP yang diperkenalkan pada 1999, dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.
WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
Ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Sebanyak 1,380 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan RM2.07 juta di Pulau Pinang, termasuk 88 pelajar di kawasan Bukit Gelugor melibatkan peruntukan RM132,000.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kemudahan WPP adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar.
“Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan siswazah berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara,“ katanya.
Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap universiti awam dan politeknik.
Mereka yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN. – Bernama