Polis keluarkan 64 saman dan sita 25 motosikal dalam Op Samseng Jalanan

ISKANDAR PUTERI: Polis mengeluarkan 64 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 25 motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Link Kedua dan Lebuh Raya Johor Bahru-Pontian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan menyatakan sebanyak 27 motosikal ditahan manakala semua saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Dua lelaki warga asing berusia 19 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kenderaan mereka disita di bawah Seksyen 64 akta sama.

Kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, dan tiada perlindungan insurans.

Kumarasan memberikan amaran keras tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan kegiatan samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri.

Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam daerah ini terjamin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *