MIHAS 2025 Jana jualan RM4.97 bilion, angka dijangka terus meningkat – MATRADE

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 mencatatkan jualan sebanyak RM4.97 bilion pada hari ketiga acara tersebut dan angka itu dijangka terus meningkat, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi itu menunjukkan keyakinan dunia yang kukuh terhadap produk halal Malaysia.

“Momentum jualan ini didorong oleh kepercayaan pembeli antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia yang dikenali dengan standardnya yang ketat,” katanya kepada Bernama dan RTM pada Anugerah MIHAS 2025 di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berdasarkan pensijilan halalnya yang dianggap sebagai ‘standard emas’.

“Sebagaimana dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, halal bukan sekadar label malah menjadi simbol kepercayaan. Apabila anda melihat logo JAKIM, anda tidak perlu berfikir dua kali,” katanya.

Mengenai sumbangan mengikut sektor, Reezal Merican berkata makanan dan minuman (F&B) kekal sebagai pemacu utama tetapi daripada jumlah eksport Malaysia sebanyak RM1.5 trilion tahun lepas, sektor itu hanya menyumbang 2.8 peratus.

“Itu kebanyakannya disumbangkan oleh syarikat besar tempatan dan multinasional seperti Nestlé dan kita mahu menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Setakat ini, MIHAS 2025 telah menarik 40,000 pengunjung perdagangan dari 100 negara selain hampir 1,000 pembeli dan penjual asing dan tempatan terlibat dalam lebih 4,000 pertemuan padanan perniagaan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Sesi perkongsian pengetahuan menampilkan penceramah daripada jenama global dan serantau, termasuk FedEx, Zus Coffee dan Grey Café manakala Sidang Kemuncak Halal Global 2025 — yang diadakan sempena MIHAS 2025 — dilancarkan Perdana Menteri semalam, menggariskan komitmen Malaysia yang berterusan untuk menerajui industri halal global.

Bertemakan “Pinnacle of Halal Excellence,” Anugerah MIHAS 2025 menghargai inovator dan peneraju dalam industri halal, dengan mengiktiraf pencapaian dalam kemampanan, pendigitalan, prestasi eksport dan sumbangan kepada masyarakat – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *