Maritim Malaysia kenal pasti sindiket seludup pendatang tanpa izin

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang mengenal pasti sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang merempuh aset agensi itu sehingga mengakibatkan dua anggota cedera dalam insiden pada Selasa.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya memperoleh maklumat berkaitan sindiket terbabit berdasarkan siasatan yang dilakukan ke atas sindiket penyeludupan lain melibatkan penahanan 20 pendatang tanpa izin.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, kami memperoleh maklumat berkaitan bot pancung yang merempuh aset kami dan siasatan masih dijalankan secara terperinci,“ katanya selepas merasmikan Program Hari Pembersihan Sedunia 2025 di Pantai Pengkalan Balak.

Beliau menjelaskan kedua-dua kes ini tidak melibatkan sindiket yang sama dan terdapat banyak sindiket penyeludupan tanpa segan silu mempromosikan bot-bot dari Batam, Indonesia ke Malaysia untuk membawa pendatang tanpa izin.

Mohd Zawawi menambah perairan Selat Melaka khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor menjadi sasaran laluan utama sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Pulau Rupat, Indonesia.

Sementara itu, beliau berkata dua anggota yang cedera dalam insiden rempuhan bot pancung sindiket terlibat berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Hanya seorang masih dalam rawatan lanjut secara berkala manakala seorang lagi hanya mengalami lebam-lebam… tiada kecederaan serius atau kecacatan pada kedua-dua anggota terlibat,“ ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan dua anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas dirempuh sebuah bot pancung disyaki membawa sekumpulan pendatang tanpa izin di perairan Tanjung Rhu, Sepang.

Dalam insiden kira-kira 9 malam itu, seorang anggota berusia 34 tahun mengalami kecederaan pada bahagian atas hidung manakala seorang lagi berusia 36 tahun cedera pada kaki dan tangan akibat hentakan.

Pada Rabu, Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot pancung yang membawa 20 pendatang asing di perairan Tanjung Kling.

Bot pancung berkenaan dikesan dalam keadaan hanyut kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling pada 9.25 malam dan dipercayai menuju ke perairan Pulau Besar untuk memindahkan pendatang asing ke bot tempatan sebelum mengalami kerosakan enjin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *